Arissa memandang imej dirinya yang terlantun di dalam cermin ketika di dalam biliknya sendirian. 'Buruk sangat ke aku ni?' bisik hatinya. Selama ini, dia tidak pernah ada isu dengan fizikalnya namun komen-komen menyakitkan Ahli PPG itu membuatkannya rasa begitu kecil, begitu... Buruk. Arissa mencekak pinggangnya lagi sambil membuat gaya ala-ala model.
Memanglah dia tidak secantik Emelyn atau Marsha, namun ada lelaki yang pernah menaruh perasaan terhadapnya. Dua, malah, tetapi itu dulu, semasa zaman sekolah menengahnya. Menyesal pula dia menolak cinta lelaki itu, jika tidak , dia pasti sudah berpasangan kini, seperti gadis-gadis lain di lingkungan umurnya. Dulu dia tidak pernah mempunyai keinginan seperti ini, namun semenjak komen-komen yang menyakitkan itu, dia merasakan bahawa dia mempunyai sesuatu untuk dibuktikan.
Dia menarik nafas panjang.
"Hai...Siapalah yang nak kat aku ni? Tomboy...Tak feminin macam PPG tu semua."
Arissa memandang sekeliling biliknya. Poster band bergenre Post/pop-punk menghiasi kamarnya. Dia atas mejanya pula, terdapat beberapa naskhah komik Marvel Spiderman kegemarannya sementara almarinya pula tersimpan papan gelungsur dan gitar kesayangannya. Bajunya pula hanyalah koleksi t-shirt, jaket dan jeans. Tidak ada satu pun barang kepunyaannya di kamar itu yang menyerlahkan kewanitaannya.
'ketidakfeminin' nyakah yang membuatnya buruk?
Bunyi telefon bimbitnya mematikan lamunannya seketika. Nama Rizal atau Farizal tertera di skrin telefon bimbitnya. Dia menjawabnya.
"Rissa, jomlah, skate ngan kitorang! Kitorang kat tempat biasa ni! Kau takde tak bestlah!" kata Farizal di hujung talian.
"Rizal, aku macam malaslah hari ni. Aku rasa nak tidur jelah kat rumah. Korang semua have fun tanpa aku." Jawab Arissa acuh tak acuh.
"Alah... Rissa! Apasal dengan kau ni? Sejak semalam takde mood. Amir cakap kau ada PMS. PMS tu apa hah? Serious ke?" tanya Farizal tanpa rasa bersalah ataupun segan silu.
"PMS tu, maknanya aku malas nak layan soalan bodoh kau tu. Bye." Sejurus selepas itu, telefon ditutup, namun, beberapa minit kemudian rasa bersalah menerpa di hatinya. Tidak sepatutnya dia melepaskan kemarahannya kepada Farizal yang tidak tahu-menahu akan keresahan hatinya Dia mendail kembali nombor Farizal.
"Zal, sorilah, aku terkasar ngan kau tadi. Sebenarnya aku...erm...aku tak sihat sikit. Pening kepalalah, mungkin sebab panas tadi." kata Arissa perlahan, membuat alasan.
"Rissa, aku yang nak minta maaf pasal soalan aku tadi. Tadi Liza ada beritahu apa tu um...ehem PMS." Kata Farizal dengan nada sesal.
"Alah takpelah. Aku bukannya tak tau perangai lembab kau tu.Aku pun nak minta maaf pada kau sebab marah tak tentu pasal, aku down pasal benda lain, kau pula yang kena."
"Down? pasal apa pula?"
" Takde apa-apalah. Dahlah, aku nak buat homework dulu. Aku call kau nanti ok? Bye." kata Arissa seraya menutup telefon bimbitnya.
Arissa mengeluh lagi. Niatnya untuk membuat kerja rumahnya ditangguhkan malah, dia menukar pakaiannya, mengambil alat pemain muziknya serta sneakers kesayangannya untuk berlari-lari anak bagi menenangkan fikirannya.
Menghirup udara yang beransur senja, Arissa berlari sambil mendengar lagu dari band pop punk kegemarannya, Green Day dengan sekuatnya, mencuba untuk mengusir peristiwa tadi dari kepalanya.Dituntun oleh matanya, dia cuba untuk mengfokus ke arah lariannya. Tiba-tiba dia terasa telefon bimbitnya bergetar. Sambil berlari, Arissa melihat skrin telefon bimbitnya, menjangkakan Farizal yang mungkin masih ingin memujuknya untuk menyertai mereka untuk aktiviti papan gelungsur mereka,namun sangkaannya meleset.
Dia memperlahankan lariannya, menutup alat pemain muziknya dan berhenti untuk menjawab nombor yang tidak dikenalinya.
"Hello?" Kata Arissa.
"Hello, ini kakak kepada Shafiq?" Tanya seseorang yang bernada lembut di hujung talian.
"Erm... Ya, ini kakak dia, ada apa ya?"
Segala kepenatan yang terasa di tubuhnya seperti hilang diganti resah yang baru. Ini pasti dari sekolah adiknya, Ahmad Shafiq. Kehairanan mula menjelar hatinya. Jarang benar pihak sekolah menelefonnya atau ibunya kerana dia tahu adiknya baik dan tidak pernah buat hal.
"Begini, Cik ni Arissa kan, kakak Shafiq? Shafiq telah dipanggil ke pejabat disiplin kerana ditangkap sedang bergaduh dengan teman sekelasnya di padang bola di sekolah. Cik Arissa boleh tak datang untuk berbincang dengan kami?"
Degupan jantungnya yang laju masih belum reda lagi akibat larian tadi, satu kejutan menyapanya, membuat degupan jantungnya terus berdetak kencang.
"A...Adik, saya Shafiq? Bergaduh? Baiklah, saya datang sekarang juga." Telefon ditutup, dan Arissa segera mencari teksi untuk segera sampai ke sekolah adiknya walaupun jaraknya dekat dan mampu sampai dengan menaiki bas. Arissa bersyukur kerana tidak sukar mencari teksi pada ketika itu.
Bila sampai sahaja di sekolah itu, Arissa segera ke bilik disiplin. Arissa cukup kenal dengan selok-belok bangunan sekolah itu memandangakan dia pernah belajar di sekolah itu suatu ketika dahulu. Apabila dia tiba di dalam bilik disiplin, dia terlihat Shafiq yang sedang tunduk kebawah, seorang guru muda yang mungkin baru dan juga seorang pelajar yang mungkin bergaduh dengan adiknya serta seorang wanita yang separuh abad, kemungkinan besar ibu pelajar tersebut.
Melihat kehadiran Arissa, mata Shafiq bersinar penuh harapan. Wajahnya muram sahaja dan Arissa dapat melihat matanya yang berkaca-kaca. Hidungnya mula merah, membuatkan Arissa yakin, bahawa adiknya tidak bersalah sepenuhnya.
"Cikgu..." Kata Arissa.
"Cik Arissa, Asyraf kata yang adik awak yang mula memukul dia. Saya tanya Shafiq tapi di tak nak jawab kenapa. Mungkin awak nak tanya dia sendiri kenapa?" Kata guru muda tersebut yang bertudung biru sambil memperbetulkan kedudukan kaca matanya.
Arissa mengerutkan dahinya sedikit dan mendekati adiknya yang masih menunduk.
"Adik, beritahu kakak, adik ke yang mula pukul dia?" Tanya Arissa dengan perlahan namun tegas.
Masih menunduk, Shafiq mengangguk dan perlahan-lahan, air matanya menitis dan sedunya kedengaran halus. Mendengar itu, Arissa sedikit kecewa, sementara Asyraf tersenyum tanda kemenangan dan ibunya pula menjeling angkuh. Arissa memegang bahu adiknya.
"Beritahu kakak, kenapa adik pukul dia?" Apabila Shafiq terdiam, Arissa menggoncang bahunya sedikit sambil menggesanya untuk jawab. "Kenapa, adik?"
"Asy...Asyraf... ejek Shafiq." jawab Shafiq dengan nadanya yang bergetar dia antara sedannya.
Arissa memandang ke arah Asyraf yang menjeling sambil memandang ke atas. Dari caranya sahaja, Arissa dapat menghidu karakter Asyraf yang tiada rasa hormat. Kemudian guru disiplin tersebut mencelah.
"Pergaduhan bukanlah cara yang baik untuk menyelesaikan masalah atau konflik yang ada di antara kamu berdua! Kamu berdua dah masuk darjah 6, saya jangkakan kamu berdua untuk berkelakuan matang! Asyraf, dah banyak kali saya dengar tentang awak, dan dah banyak kali awak kena tindakan disiplin, tapi, apa yang saya nasihatkan awak langsung tak mau ambil endah!
" Shafiq, saya langsung tak menjangkakan ini dari awak! Saya benar-benar kecewa dengan tindakan awak yang salah tu. Sekarang, saya nak kamu berdua minta maaf. Saya akan lepaskan kamu berdua memandangkan ini kesalahan pertama kali buat Shafiq, tapi ingat, jika kesalahan ini berulang lagi, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih berat, faham? Sekarang, minta maaf!"
Shafiq mendekati Asyraf perlahan-lahan dan menghulurkan tangan untuk bersalaman.
"Aku minta maaf sebab pukul kau tadi." Kata Shafiq, namun Asyraf dengan sombongnya menepuk tangannya sebagai cara bersalaman, kemudian dia menjeling.
"Cikgu, anak saya kena pukul, cikgu boleh lepaskan dia macam tu je? Cikgu tak nampak ke, sampai berdarah siku anak saya ni? Ini tak boleh jadi!" Celah ibu Asyraf tiba-tiba.
Arissa ingin sahaja memarahi kembali ibu Asyraf tetapi tenang kerana memikirkan akibatnya nanti. Lagipun, wanita itu lebih tua daripadanya, jadi biadab pula nanti kelakuannya kalau dia 'smackdown' wanita itu.
"Puan Norin, saya dah lepaskan dendaan untuk kedua-duanya dah bagus tau? Puan ingatkan saya akan denda Shafiq seorang saja dan biarkan Asyraf? Puan jangan lupa, Asyraf pun bersalah juga sebab dia yang mengejek Shafiq dulu. Lagipun, luka di tangan Asyraf tu saya perhatikan dah dua hari kan? Mungkin masa pergaduhan tadi, luka tu berdarah kembali." Terang guru disiplin itu lagi.
Tiada apa-apa lagi untuk dikatakan, Puan Norin mendengus dan menarik tangan anaknya.
"Terima kasihlah cikgu!" dengan itu, dia meninggalkan bilik itu dan menghempas pintu.
Ruang bilik itu kembali senyap.
"Cikgu, saya minta maaflah atas pihak adik saya, menyusahkan cikgu." kata Arissa.
"Saya minta maaf cikgu, saya tau, saya tak sepatutnya pukul Asyraf."
Guru muda itu mendekati Shafiq dan memegang bahunya.
"Shafiq, sebenarnya cikgu kecewa dengan tindakan Shafiq. Memang cikgu tau, Asyraf suka mengejak dan cakap sesuka hatinya. Jadi cikgu percaya, puncanya adalah kerana sikapnya itu. Tapi itu tidak bermakna Shafiq berhak untuk bertunduk dengan dia. Kamu lebih baik daripada itu. Pun begitu, Cikgu bangga kerana Shafiq cepat sedar dan mahu bermaafan dengan Asyraf."
"Terima kasih, cikgu." Kata Shafiq, diikuti dengan Arissa, sebelum mereka berlalu dari situ.
Setelah itu, Arissa mengajak adiknya ke restoran makanan segera McDonald's. Arissa memesan burger yang dia tahu adalah kegemaran adiknya itu melihatkan adiknya tiada mood untuk berbual. Bila ditanya, jawab sepatah.
Apabila makanan mereka tiba, Arissa mengambil kesempatan itu untuk berbicara mengenai hal tadi.
"Kenapa adik pukul dia? Apa yang dia cakap? Selalu adik tak macam ni."
Shafiq terdiam sebentar sambil bermain-main dengan penyedut airnya. Kemudian dia membuka mulutnya.
"Asyraf ejek Shafiq sebab kasut Shafiq kotor dan dah koyak. Mula-mula Shafiq diam tapi lepas tu dia cakap Shafiq miskin, takde ayah, Shafiq geram! Kakak marah kat Shafiq ke?"
Sayu pula hati Arissa mendengarnya.Geram pun ada, namun dia tak ingin memperbesarkan masalah itu. Dia cuba untuk meringankan keadaan.
"Fiq, kakak tak marah, sebab kakak tau Shafiq tak salah sepenuhnya, tapi itu tak bermakna kakak setuju dengan apa yang adik buat, tau! Tapi, bila kakak ingat balik kan, perangai kakak dulu lagi teruk tau? Kat bilik tulah kakak selalu kena panggil."
" Kena panggil? Kakak buat apa?" kata Shafiq yang mula ceria sedikit.
" Macam-macamlah. Kakak ni dulu suka bergaduh dengan budak-budak lelaki kat sana, diorang suka ejek kakak. Ada satu hari tu, kakak tumbuk satu budak tu, sampai dia menangis! Kakak geram dengan dia sebab dia ni jahat sangat! Ibu sampai kena datang selesaikan masalah dengan mak budak tu. Shafiq dah kira untung tau, guru disiplin adik tu baik.Masa time kakak dulu, cikgu disiplin garang, misai tebal. Muka serius je, cara cakap pun macam komando tentera."
Kata Arissa mengingatkan kisah silamnya yang lucu sambil menikmati kentang gorengnya dan tersenyum.
"Kakak nangis tak?" tanya Shafiq.
"Tak. Geram lagi adalah! Last-last, kitorang berdua kena ketuk ketampi seratus kali kat tengah padang bila waktu rehat. Semua orang tengokkan. Malu tau, sebab belum pernah lagi ada student perempuan yang kena macam tu."
"Habis, kakak dengan dia tak bermaafan ke?"
"Tak, tapi lepas tu dia nak buat baik dengan kakak pula. Kita pun jadi kawan baik, sampailah sekarang." Cerita Arissa sambil tersenyum.
"Sampai sekarang? Budak tu..."
"Abang Farizal lah."
Arissa tersenyum lagi sementara Shafiq membuka mulutnya dengan mata yang terkebil-kebil.
bersambung...
No comments:
Post a Comment