Sunday, September 18, 2011

Selamat Tinggal Sneakers...20

Ketika Farizal membuka matanya, kepalanya seperti baru dihentak oleh besi yang berat. Semalam dia pulang agak lewat dan pagi ini kepalanya semakin sakit. Dia cuba bangun namun dia baring semula apabila sakit kepalanya menikam kepalanya tajam.

Tiba-tiba dia teringatkan peristiwa semalam dan mengerang. Sejak semalam dia masih belum menghubungi Arissa untuk menerangkan keadaannya. Dia mencapai telefonnya yang mati dan menyedari bahawa ianya sudah kehabisan bateri. Dia ingin mencari phone charger tapi kepalanya berat...sangat.

Selang beberapa minit kemudian, neneknya masuk dan terkejut cucunya masih belum bersiap ke kolej.

"Zal, dah pukul berapa ni? Tak pergi kolej ke?" 

"Rizal sakit kepalalah, Nek. Tak larat nak bangun," Kata Farizal sambil memicit kepalanya. Menyesal pula tidak sempat menelan aspirin atau Paracetamol semalam.

Neneknya kelihatan risau dan memegang dahi Farizal.

"Yelah, panas dahi Rizal. Nanti nenek masakkan bubur, lepas tu Rizal boleh makan ubat."

Farizal hanya mengangguk. Saat-saat begini teringat pula waktu zaman kecilnya, waktu dia mana tidak banyak masalah yang harus difikirkan. Entah mengapa, dia terfikirkan tentang ibunya yang kini tinggal di Australia bersama suami barunya (dari dulu, Farizal enggan memanggil lelaki yang bernama Ridwan itu 'ayah tiri', janggal rasanya). Sudah 6 tahun ibunya di sana apabila Farizal tidak mahu mengikut serta dan dalam tempoh itu juga, dia tidak pernah pulang menjenguk Farizal ataupun Nek Jah. Hanya e-mel dan wang kirimannya yang membuatkan Farizal bahawa dia  masih mempunyai seorang ibu yang bernama Aina.

Farizal menutup matanya. Semakin lama , orang-orang yang disayanginya semakin jauh daripadanya. Nek Jah pula semakin lama semakin dikejar usia dan sering sakit-sakit. Dia menjadi takut memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi. Jika neneknya tiada nanti, bagaimana agaknya dirinya nanti? Neneknya adalah satu-satunya tanda kasih yang nyata bagi dirinya.

                                                                                    ***

Arissa duduk di keseorangan di pantai. Hari itu dia sedang menjadi topik hangat ekoran apa yang ditulisnya di Facebook semalam.  Banyak yang mengutuknya dan menyalahinya serta menuduhnya membuang Farizal untuk memilih untuk bersama Pierre. Marsha dan Maya, biasalah, mengambil kesempatan itu mengumpul 'pengikut' untuk membencinya. Amir juga buat bodoh sahaja apabila melihatnya.

Farizal pula masih belum menghubunginya lagi, malah, hari ini pun dia tidak ke kolej. Takut nak bersemuka dengan dirinya agaknya. Kesunyian di pantai hari itu menenangkan hatinya yang kusut sambil dia membiarkan deruan angin laut yang sesekali meniup membelai rambutnya yang dibiarkan lepas.

Tidak dapat dinafikan hatinya cukup sedih dan terkilan dengan sikap Farizal yang tidak peduli itu. Pantai inilah tempat di mana mereka selalu meluangkan masa bersama, bersembang, meluahkan rasa ataupun berdiam sahaja, mendengarkan deruan ombak yang hancur di pantai.

Arissa mengesat air matanya. Satu persatu batu-batu kecil dicampakkan ke laut untuk melepaskan marahnya. Sampai hati Farizal membuatnya begini. Peristiwa Farizal datang membantunya ketika dia pengsan di sini kembali bergulir di mindanya. Dia terus berlari, mencuba mengelilingi pantai itu sambil menangis seperti orang gila apabila wajah seseorang yang menyapanya mengejutkan.

"Kau...Apa yang kau buat kat sini?" Tanya Arissa sambil tercungap-cungap.

Dia mendekati Arissa namun gadis itu membelakangkan dirinya.

"I was so worried...You know, about what happened..."

"Itu semua bukan hal kau! Aku taulah macam mana nak jaga diri aku sendiri!" Kata Arissa sambil berlalu dari lelaki yang bernama Pierre itu apabila tangannya ditarik olehnya.

"Arissa, boleh tak you dengarkan I? Just this once?" Mata Pierre yang memohon terus meminta gadis itu untuk mendengarkan hatinya.  Arissa menoleh, dan seperti boneka, dia menurut sahaja. Dia sudah tidak kuasa melawan apa yang terjadi di sekelilingnya. Hatinya lelah untuk memuaskan hati semua orang, untuk menafikan rasa yang tumbuh subur di hatinya.

"Arissa..." Pierre mengangkat wajah gadis yang indah itu. Ada sedih di sebalik ketegaran yang dipamerkan.

Arissa ingin menyatakan sesuatu apabila Pierre meletakkan jari telunjuknya di bibir mungil gadis itu. Anehnya dia terdiam.

Mata mereka sekali lagi bertentangan dan kali ini tiada apa yang dapat menafikan apa yang dirasakan saat itu. Pandangan itu mengungkapkan  jawapan yang diperlukan tanpa sebarang bicara.

Pierre mengelus lembut wajahnya dan rambutnya yang berterbangan ditiup angin. Mata mereka tetap bertentangan. Entah mengapa, lidahnya kelu untuk berkata sesuatu apalagi membantah. Arissa fikir saat begini layak untuk dijadikan satu babak dalam filem romantis cuma kini dirinya pasti buruk dengan peluh dan air matanya yang terus mengalir. Berbeza dengan Arissa, Pierre melihat gadis yang begitu nyata keindahannya. Tidak seperti gadis-gadis yang pernah dia date selama ini.

"Arissa," kata Pierre lembut namun serius. "I tau mungkin I adalah orang yang terakhir yang you nak jumpa saat you tengah kusut macam ni, tapi... I nak selalu ada bila you perlukan seseorang. I nak jadi orang yang akan hapuskan airmata you."

Wajah Pierre serius tapi penuh simpati di saat dia mengesat air mata gadis yang kini hanya seinci di hadapannya. Air mata Arissa semakin laju dan banyak mengalir dengan rasa keharuan. Pierre datang tepat pada saatnya, saat di mana dia memerlukan seseorang untuk membantunya berdiri. Dia sudah tidak dapat menahan egonya dan kerana itulah, dia tidak menolak, malah menyambut pelukan yang diberikan oleh wira di hadapannya.

"Aku confused giler. Semua orang against aku! It's not fair, diorang tak tau pun apa yang dah jadi!" Luah Arissa saat di dalam pelukan lelaki itu dengan teresak-esak, seperti anak kecil.

"Shh...It's okay, I ada kat sini. I promise I akan jaga you okay, I takkan biarkan you seorang diri..."
Tutur Pierre lembut memujuk, sambil mengusap rambut gadis itu.

Arissa diam sebentar di dada lelaki itu sambil menangis. Begitu tenang rasanya setelah seharian berlawan dengan perasaan dan keadaan di sekelilingnya. Pierre begitu bijak untuk tidak menganggu pada saat-saat tertentu. Dia tahu bila untuk memujuk atau berbicara.

"Oh, no, I've ruined your shirt. Mesti mahal kan?"  Kata Arissa tiba-tiba. Dia melepaskan pelukannya dan memandang ke arah baju Pierre yang basah dengan airmata dan hingusnya. Buruknya aku menangis, fikir Arissa. Saat itu, Arissa menyedari betapa tingginya lelaki di hadapannya.

Pierre tersenyum, kemudian mengusap pipi Arissa, menghapuskan air mata yang masih tersisa.

"You ni cute betullah. Saat-saat macam ni pun you masih fikirkan baju I? Jangan risaulah, I tak kisah, in fact, I rasa I tak nak cucilah bajunya, biar ada bekas you." Kata Pierre.

Arissa tersenyum. Pipinya merah menahan malu.  Arissa mengesat air pipinya kalau-kalau masih ada lagi air mata di pipinya itu. Pun begitu, satu rasa baru seakan meledak di hati kecilnya. Inikah perasaannya jika seseorang itu dikatakan jatuh cinta?

Kemudian, mereka berdua berjalan di pergigian pantai tanpa kata. Hilang sebentar masalah yang dihadapi oleh Arissa dicuri oleh pandangan dan senyuman Pierre. Kenapalah selama ini dia begitu dingin terhadap lelaki sebaik Pierre? Dia sudah berburuk sangka kepada lelaki yang sanggup bersamanya ketika tiada orang yang boleh diharapkan.

"Riss...Can you give me an answer?" Kata Pierre tiba-tiba.

"Untuk soalan apa?"

 Mereka berhenti dan Pierre memusingkan badannya ke Arissa dan mengambil kedua-dua tangannya.

"Will you be mine?"

Pada saat itu, wajah mereka begitu dekat sehinggakan Arissa dapat merasakan hembusan nafas Pierre di mukanya. Arissa tersenyum dan kemudian, berkata, "Kalau nak tau, kejarlah."

Arissa belari dari Pierre yang tersenyum kemudian ikut mengejar. Mereka tertawa sambil berlari seperti budak kecil bermain 'tag'. Memang satu dalam seribu gadis ini, fikir Pierre.

Kemudian Pierre dapat menangkap Arissa yang tertawa seperti anak kecil. Tubuhnya dirangkul oleh Pierre.

"Kalau nak lepas, cepat cakap, yes or no?"

"I thought you already knew?"

"Yes or no?"

Pandangan daripada seorang wanita yang berusia sekitar 60 an tahun membuat mereka berhenti bergurau dan Pierre melepaskan Arissa daripada pelukannya.

"You... Ni..." Kata Pierre sambil menuding ke arah Arissa yang masih tertawa.

"Kita main Scissors-Paper-stone, 5 sets. Kalau aku kalah, I'll say yes." Kata Arissa.

"Pelik... Tapi...Okay, bring it on."

Mereka bermain dengan Arissa menang pusingan pertama, diikuti dengan Pierre, hinggalah mereka seri, 4-4.

"Okay... Tinggal last... kita sambung bila kita jumpa lagi nanti... " kata Arissa.

"Apa? Come on..."

"Aku nak balik. Bye..." Arissa tersenyum dengan penuh misteri.

"Finish the game...!"

"See you..."

Arissa pergi tanpa menoleh lagi. Pierre tersenyum sambil menggeleng. Memang pelik gadis itu dan mungkin kerana itulah dia rasa bahawa dia semakin jatuh hati kepada gadis itu. Pierre rasa optimistik dengan perasaan gadis itu terhadapnya. Pasti Arissa juga sudah jatuh hati padanya. Fikirannya sudah pun ligat berputar untuk merancang sesuatu supaya gadis itu jatuh dalam ke hatinya.

Saat Arissa pulang, Dia bertembung dengan adiknya yang kebetulan juga baru pulang.

"Fiq, baru balik? Dari mana?" Kata Arissa yang ceria sahaja.

"Dari rumah abang Rizal. Pergi kedai untuk Nek Jah. Dia suruh beli ubat." Kata Shafiq.

"Beli ubat? Kenapa? Nek Jah sakit ke?" Tanya Arissa sambil membuka pintu untuk mereka berdua masuk.

"Bukan Nek Jah, tapi Abang Rizal."

Jawapan Shafiq itu seperti tamparan hebat buat Arissa. Farizal? Sakit? Mungkinkah sebab itu dia senyap sahaja?

"Abang Rizal sakit apa?"  Tanya Arissa dengan dada yang berdebar-debar. Rasa bersalah mula menyelubunginya.

"Demam. Tadi Shafiq datang pun, dia tidur." Kata Shafiq selamba, tidak menyedari ketegangan di antara mereka berdua.

 Arissa  terdiam. Semuanya sudah terlambat, nasi sudah pun menjadi bubur. Arissa mengingatkan apa yang telah ditulisnya di Facebook semalam dan menyumpahi dirinya dalam hati. Kenapalah sekarang semuanya terjawab? Agaknya apa reaksi Farizal saat membaca komen yang ditulisnya itu?

Tiba-tiba telefon bimbitnya bunyi. Cepat-cepat, dia mengeluarkannya. Satu pesanan ringkas dari Pierre.

'Meet me tomorrow night.  I ada surprise untuk you. I jemput you dalam pukul 8 mlm.'

Esok hari Jumaat, apa pula kejutan yang ingin diberikan oleh lelaki itu? Hmm...


                                                                                 ***

Saat Farizal bangun dan mencaj telefon bimbitnya, ada banyak mesej dan telefon yang tidak dijawab. Aik?Semua nak ucapkan semoga cepat sembuh ke?

Apabila Farizal membaca kesesemua mesej yang diterimanya, dia dapati tekaannya salah. Malah, dia jadi bingung dan risau pada waktu yang sama.

'Bro, wat happen? '

'Zal, betul ke apa yang Arissa tulis?'

'Bro, Arissa putuskan kau? Bitch! sanggup buang kawan untuk playboy hingusan tu! Kau ok?'

...Dan beberapa lagi mesej serupa daripada teman-temannya. Rasa peningnya semua hilang. Dengan segera dia menelefon Amir.

"Rizal! Nasib baik kau call! Kitorang baru nak panggil police, buat search party semua... Apesal M.I.A? Risau tau aku, takut kau bunuh diri ke..." Suara Amir di hujung talian menyambutnya. Tiada 'hai apa khabar' semua.

"Pehal ngan korang ni semua? Aku demamlah tu sebab aku tak datang kolej hari ni. Ni apa yang aku dengar pasal Arissa dengan aku... "

"Soalan yang baik. Apa ni bro, sampai putus sahabat ni semua?"

Mendengar itu, Farizal terkejut. Bagaimana pula mereka tahu tentang SMS yang dihantar Arissa semalam?

"Eh, macam mana korang semua tahu hah?"

"Duh. Facebook."

"Apa?!"

"Kau dah baca Wall Arissa?"

"Belum. Mir, nanti aku call balik."

Farizal menghidupkan komputenya dan pergi ke halaman Facebook, klik ke nama Arissa. Mesej yang amat menghancurkan hatinya menyapanya. Yang paling menyedihkan, namanya juga sudah terhapus dari senarai rakan Arissa. Farizal menggeleng-gelengkan kepalanya dan menelefon Arissa. Rupanya Arissa serius tentang SMS semalam.

Pada waktu yang sama, Arissa sedang memotong sayur, membantu ibunya menyediakan makan malam apabila telefon bimbitnya berbunyi. Nama Farizal tertera di skrin, membuat hatinya berdebar.

"Erm... Ibu, Arissa nak jawab telefon sekejap ya?"

Dengan anggukan ibunya, Arissa ke koridor untuk menjawab panggilan itu. Setelah menarik nafasnya, dia menekan 'jawab'.

"Hello."

"Arissa apa ni? Apa yang kau tulis kat Facebook?" kata Farizal yang lebih kedengaran terkejut daripada marah.

Saat mendengar itu, tenggorokannya seperti mempunyai batu kecil. Matanya juga pedih, dan dia rasa seperti ingin menangis. Betapa dia merindukan suara itu. Arissa terdiam sebentar, kemudian dia berdehem.

"You tell me." Arissa sudah tidak sanggup lagi untuk berbicara. Hatinya seperti dijepit.

"Look, boleh kita turun sekejap? Kita betul-betul perlu cakap pasal hal ni."

"Okay."

                                                                               ***

Lima minit kemudian, mereka masih membisu. Masing-masing tidak tahu harus berkata apa atau bagaimana harus memulakannya. Langit cerah dengan indahnya bulan dan bintang mempamerkan cahayanya namun wajah kedua sahabat itu suram, tidak layak menikmati anugerah keindahan malam itu.

"Are you sure about this?" Kata Farizal memecah kesunyian yang kian menderanya itu.

Arissa mengangkat bahunya.

"Entah. Bukan ke soalan tu patut kau tanyakan diri kau sendiri semalam? You brought this upon yourself!" Kata Arissa tanpa memandang lelaki itu.

"Okay, pasal semalam tu, aku boleh explain. Sebenarnya, semalam aku pening kepala, jadi aku tertidur. Mungkin masa tulah, aku tak sedar kau telefon atau SMS aku. Masa aku sedar, dapat mesej kau, terus aku rush kat tempat tu. Tapi... Aku tau, aku lambat. Sorry kay? Lagipun, semalam jam, ada accident."

Arissa hanya menepuk tangannya.

"Wah. Ni kau curi dari skrip mana ni? Ada potential untuk dapat Anugerah Drama paling Dramatik."

"Apa? kau ingat aku..."

Belum sempat Farizal menyambung, Arissa memotong.

"Kalau kau serious, kau truly sorry, kau boleh call aku semalam! Macam nak gila aku tunggu kau at least call aku tapi kau tak buat kan?"

"Bateri phone aku flat!"

"Oh, dramanya. Habis tu apa? Perompak datang? Pukul kau ramai-ramai, tapi kau kalahkan semua dengan flying kick power... Ke fireball?"

"Boleh serious tak? Betul, bateri flat!"

"Habis, tadi pehal senyap? Kau tak datang kolej kenapa? Call aku pun tak. Sekarang baru nak jumpalah..."

"Tadi aku demam! tak larat nak bangun, semalam lepas balik je aku terus tidur, tak sempat caj bateri. Boleh tolong faham tak!!"

Arissa menyepetkan matanya.

"Faham? FAHAM? Sebelum kau suruh aku faham situasi kau, bukan ke lebih baik kau cuba faham situasi orang lain? Aku marah sebab kalau apa-apa jadi, kau tak bagi aku explain! Kau tak nak faham apa yang berlaku!  Kau sanggup tak nak berbual dengan aku sampai seminggu sebab ikutkan sangat kepala ego kau tu!  Kau tau tak aku lonely giler masa kau jauhkan diri daripada aku? What you said and did to me was hurtful!"

"Aku...Okay, aku minta maaf, on that part, aku memang salah..." Farizal menolak rambut depannya ke belakang.

"Eat your apologies! Aku yang jahat kan? Aku yang sanggup tinggalkan kawan untuk lelaki lain kan? Well, sekarang kau ada banyak support kat belakang kau, aku dah tambah musuh. Oh, and you know what? Apa yang diorang cakap akan jadi kenyataan! I'M DATING PIERRE LAURENT."

Barisan kata terakhir Arissa membuat Farizal terkejut.

"Erk...Apa? Kau nak date Buaya darat tu?"

"At least he was there when I needed someone. Dia ada masa everyone turned their back against me! Apa-apalah. Kau dah tak payah nak kisahkan aku. Sekarang aku dengan jalan aku, kau dengan jalan kau. Bye, besok ada date dengan Pierre." Sahaja Arissa berkata begitu untuk menyakitkan hati Farizal. Biar dia tahu rasa.

Farizal termangu sebentar. Arissa memang suka bergurau namun, jika dia serius, dia tidak akan bergurau terutama dalam hal sebegini. Farizal menyumpahi dirinya sendiri. Memang dia yang harus dipersalahkan! Kini bukan sahaja dia harus kehilangan sahabat yang dicintai dan disayanginya, dia juga harus melihat gadis itu, dibunuh perlahan-lahan oleh lelaki playboy seperti Pierre.

Pun begitu di dalam hati dia berdoa untuk Arissa. Jika dia sudah ditakdirkan kehilangan gadis itu, semoga gadis itu mendapat kebahagiaan walaupun bukan darinya. Semoga juga, Pierre Laurent akan berubah dan dapat menjaga Arissa dengan baik.

                                                                           ***
Banyak mata yang mengenalinya memandangnya dengan sinis terutama sekali 'teman-teman' yang selalu melepak dan bermain bola dengannya dan Farizal. Jadi, sekarang dialah pembelot. Pengkhianat. Kampus itu dirasakan seperti pusat 'Anti-Arissa'. Sesi latihan bola sepaknya pun semua buat bodoh atau janggal terhadapnya. Dia merasakan bahawa dia telah dihakimi tanpa diperiksa. Kini hanya Lee dan Lisa sahaja yang masih baik dengannya.

Arissa membuka locker nya dan mendapati setangkai bunga ros serta kad kecil menyapanya.

'Can't stop thinking about those illuminating eyes that struck my heart'

-Pierre

p.s See you tonight :)

Mendapat nota sekecil dan pendek itu sudah mampu menghiburkan hati Arissa. Dia tersenyum sambil menghidu harumnya mawar tersebut, tidak peduli akan mata-mata hijau yang sinis terhadapnya.

Sepanjang jalan menemui Lee, senyum bahagia tidak lekang dari bibirnya. Lee yang dari jauh lihat cahaya bahagia dari temannya yang jarang tersenyum itu. Dari pengalamannya yang bertahun lamanya, takkan silap, ia adalah simptom daripada satu penyakit merbahaya tapi indah: Cinta.

"Amboi... Happy nampak..." Kata Lee memberikan air kisses kepada Arissa yang -seperti biasa- tidak kuasa menyambutnya.

Arissa hanya tersenyum sambil menyimpan bunga tersebut ke dalam begnya.

"Aww... Bunga! Dari siapa tu?" Kata Lee, merampas bunga itu dari Arissa. Kemudian dia membaca kad tersebut dan menutup mulutnya dengan tangannya sambil mengipas-ngipas dengan jarinya. "Pierre Laurent?! O.M.G. See you tonight? Aww...Details, I say. Details!"

Arissa masih tersenyum dengan dreamy. Untuk sesaat dia menikmati saspens itu.

"Aku ada date dengan Pierre malam ni." Kata Arissa dengan penuh keyakinan kali ini.

Dengan itu, Lee menjerit keriangan sambil memeluk Arissa.

"Omigosh, omigosh! Girl, kau dah tau tak nak pakai apa?"

Wajah Arissa kembali serius. Oh ya... Dia tidak pernah pergi berdating jadi pengetahuan tentang date...Kosong!

"Erk..."

"Okay, date pukul berapa?"

"8 malam...?"

"What?! Habis, apa lagi yang kau buat kat sini?"

"Umm..."

Lee menarik lengan Arissa dan mengajaknya ke studionya.


Tiba di studio kerja Lee, bersungguh-sungguh lelaki itu mencuba satu persatu dress untuk Arissa. Sudah banyak pakaian yang mereka cuba namun ada sahaja yang tidak kena di mata Lee.

-Terlalu over
-Terlalu nampak matang
-Terlalu mencuba
-Terlalu berani
-Terlalu Simple

Arissa yang kebosanan membelek-belek sendiri koleksi. Dia mengambil sebuah dress krim berlengan pendek yang ketat di bahagian pinggang namun mengalir lembut hingga bawah lutut dan mencuba melihat dirinya di cermin.

"Yes!" Lee menekup kedua-dua tangannya dan mendekati Arissa. "Cuba yang ini dulu!"

Arissa memandang Lee untuk kepastian sebelum mencubanya. Apabila dia keluar dari bilik persalinan, Lee meletakkan tangannya sambil mengesat air matanya dengan jarinya yang halus.

"Dah-ling! You're so sweet! Perfect!"

Lee memegang bahu Arissa dan membawanya ke cermin. dan menyambung,

"sekarang, kita tambah mekap sikit, buat rambut oh, dan jangan lupa, kasut! Eee...Excited nya aku!"

Arissa melihat dirinya di cermin dan tersenyum. Sepanjang Lee mendandaninya, dia hanya tersenyum. Bagaimana agaknya date nya dengan Pierre nanti? Apa pula agaknya kejutan yang ingin diberikan oleh lelaki itu.? Bebelan Lee yang memberi tips dan panduan pun diiyakan sahaja walaupun sepatah haram pun dia tidak mengerti ekoran angannya.

"Okay, siap!"

Arissa melihat dirinya di cermin. Hilang sudah ketomboiannya. Gadis yang terlantun di cermin kini adalah seorang gadis manis dan feminin, dengan mekap yang tidak begitu tebal.


Tepat pukul 8 malam, Arissa sudah pun menunggu Pierre di bawah flatnya. Nasib baiklah ketika dia pulang tadi tiada orang di rumah. Shafiq mungkin di rumah kawannya memandang esok tidak sekolah sementara ibunya kerja syif malam. Selang lima minit menunggu, Pierre datang dengan kereta Ferrari milik sepupunya.
Hati Arissa berdebar-debar menanti reaksi Pierre.

Dari dalam kereta, Pierre sudah dapat melihat gadis yang begitu indah menunggunya. Memang tidak percaya, bidadari yang sedang menunggunya adalah gadis tomboy yang gemar bermain bola dan papan gelungsur. Nampaknya dia serius untuk menerima dirinya. Pierre tersenyum. Kemudian dia menghentikan keretanya di hadapan gadis itu. Dia keluar dengan membawa sejambak bunga.

"Hey gorgeous." Pierre memberikan bunga itu yang disambut oleh Arissa sambil tersenyum. Dengan senyuman khasnya, Pierre memandang Arissa.

"Masa I datang tadi, I fikir, eh, kenapa ada bidadari berdiri kat situ, tapi, terus I fikir, tak mungkin. Bidadari tak secantik tu, then it turns out to be you."

 Dengan aura yang mempesonakan, Pierre kelihatan segak dengan sweater yang menutupi bajunya di dalam, memperlihatkan hanya kolar. Bahagian lengannya yang panjang dilipat sedikit, hingga di bahagian sikunya. Bau haruman yang seksi melengkapkan kesegakan lelaki itu.

Arissa tersenyum malu. Cantikkah dia malam it? Tanpa banyak bicara, Pierre menyambutnya ke dalam keretanya, siap bukakan pintu lagi. Arissa rasa seperti seorang puteri.

"So... Kita nak pergi mana?" Tanya Arissa, cuba melawan debaran hebat yang sedang bergelutan di hatinya kini. Sebab itulah ramai gadis boleh sampai berebutkan lelaki di hadapannya itu! Memang segak dan tampan. Dia seperti baru terus melangkah keluar dari majalah untuk iklan Armani - classy dan seksi. Arissa merasakan seperti mimpi dan sukar bernafas dengan bauan wangi penyegar udara kereta.

"Adalah. kata surprise." Pierre seperti menikmati saat itu, dengan Norah Jones melantunkan lagu 'Don't Know Why' di stereo kereta, mengambil masa seolah masa akan menunggu mereka pada waktu itu.

Apabila Pierre mengambil jalan yang sangat dikenalinya, Arissa menjadi sedikit resah, lebih-lebih lagi apabila mereka berhenti di situ.

"Cafe Khairul? Buat apa kita kat sini?" Tanya Arissa yang semakin kelam-kabut. Dia tidak boleh memperlihatkan dirinya begini kepada Khairul ataupun Erin.

"Kat sinilah where the surprise happens, sugar."

Pierre keluar dari kereta tersebut dan membuka pintu untuk Arissa yang semakin bedebar-debar. Tanpa mengingkari, kakinya melangkah juga menurut langkah Pierre. Apabila mereka masuk ke kafe itu, Khairul menyambut mereka dengan gembira, seolah menjangkakan kehadiran mereka. Pierre menyalam tangannya dan bertanya khabar.

Aik, sejak bila pula mereka mesra?

Khairul memandang ke arah Arissa yang cuba menyembunyikan wajahnya, namun Khairul tersenyum nakal.

"Arissa... Wow! Ingatkan puteri mana tadi..."Usik Khairul.

Arissa hanya membulatkan matanya dan menunjukkan buku lima kepadanya, tanpa dilihat oleh Pierre. Khairul hanya tersenyum bodoh.

Mereka terus dan menuju ke arah sebuah tempat, apabila Pierre meminta diri untuk 'membuat sesuatu.' Arissa tidak sempat bertanya kepada Pierre yang meninggalkannya sebentar dengan satu kenyitan mata.

Tidak berapa lama kemudian, Erin datang dan mengambil tempat di sebelahnya yang sedang menikmati band yang mendendangkan sebuah lagu Blues.

"Boleh tahan..." Kata Erin. "Is it official?"

"Apanya?" Tanya Arissa walaupun dia tahu apa yang ditanyakan.

"Robert Pattinson melayu tulah.Good taste! Handsome sangat... Macam Brendon Urie." Kata Erin dengan menyamakan lelaki itu dengan penyanyi utama Kumpulan Panic At The Disco yang kebetulan juga merupakan lelaki idaman Arissa. Arissa tersenyum.

Ya tak ya jugak eh, kalau dipandang dua kali...

"Kita belum official. Rissa belum bagi jawapan kat dia." Kata Arissa. Sebenarnya dia ragu-ragu juga. Iyalah, layakkah dia untuk lelaki itu?

"Jangan tunggu lama-lama. Orang kebas kang, melopong! Ee... Kalau Kak Erinlah... Agaknya Kak Erin dah kurung dia dalam sangkar, tak bagi orang lain!" Gurau Erin.

Perhatian mereka kembali kepada band yang baru habis membuat persembahan apabila penyanyi utamanya membuat satu pengumuman.

"Okay, malam ni  kita ada satu persembahan special daripada our friend yang nak dedicate cintanya kepada , in his words, the most beautiful lady ever. Let's welcome, Pierre Laurent."

Seisi kafe menepuk tangan sementara Arissa terlalu terkejut (Dengan cara baik) untuk bereaksi. Pierre keluar dan mengambil mikrofon dan mengambil  tempat di bangku tinggi yang tersedia. Kemudian dia memandang ke arah Arissa.

"Ehem. Hai, semua. I've never done something like this before, saya tak pernah nyanyi depan orang ramai macam ni dan saya tak tau kalau saya boleh nyanyi...Tapi, saya nak dedicate my love, heart and soul entirely untuk gadis yang paling cantik, dalam dan luar yang sedang duduk dan dengar saya sekarang. Dia dah mengubah hidup saya menjadi lebih baik. Arissa, this is for you."

Dengan memberi isyarat kepada pemain gitar yang mengiringinya, Pierre mula menyanyikan lagu 'Just the Way You Are,' nyanyian asal Bruno Mars, versi akustik.

Arissa terkesima dan tidak mampu berkata apa-apa. Hatinya semakin hilang dicuri lelaki berdarah Perancis itu. Setelah itu, Pierre menerima tepukan dan sorakan daripada para penonton. Setelah mengucapkan dan menunduk tanda terima kasih, dia kembali ke Arissa. Banyak mata yang memandang dan berfikir betapa bertuahnya gadis yang bernama Arissa itu.

"That was...Nice...So sweet of you. Thanks," kata Arissa.

Pierre tersenyum dan memandang wajah Arissa. Sedetik kemudian, Khairul datang membawa minuman untuk mereka.

"Wow, tak sangka... Arissa, you are one lucky girl..."

Arissa hanya terdiam namun bibirnya terus tersenyum. Malah, sepanjang malam itu, bibirnya tidak lekang dari senyuman.

Malam itu, Pierre mengajaknya ke sebuah restoran yang agak mahal dengan suasana yang romantis sementara tidak putus-putus memujinya. Arissa merasakan benar-benar seperti seorang gadis. Setelah itu, mereka berjalan menuju ke tempat meletak kereta yang agak jauh dari restoran tersebut (sengaja Pierre berbuat begitu supaya mereka mempunyai masa lebih untuk bersembang).

Sambil menghirup udara malam, mereka berjalan perlahan.

"Kenapa kau pilih aku?" Tanya Arissa.

"Kenapa tak?"

"Maksud aku, aku rasa lebih banyak perempuan yang lebih..."

Seperti satu waktu dulu, Pierre meletakkan jarinya di bibir Arissa.

"Nak jelaskan memang susah. You are very real, Arissa. Dengan you, I rasa...Entahlah. Memang betul, I'm a player, tapi...You tau tak? I tak pernah bahagia dengan perempuan-perempuan tu semua. I tak pernah rasa macam apa yang I rasa sekarang."

"Kau cuma cakap je..."Kata Arissa perlahan. Tiba-tiba dia sedar, dia hampir terlupa siapa lelaki di hadapannya.

Pierre mengambil tangan Arissa.

"Baby... Kalau I tak serious dengan you,dah lama  I gave up on you, but no. Walaupun dah berminggu-minggu you tolakkan I, I tak akan berhenti sebab I tak boleh. Ini bukan sekadar cuba-cuba nasib... This is real love. Dan you adalah cinta pertama I. Cinta pertama I yang benar."

Arissa memandang Pierre yang serius meyakinkannya.

"Mesti best kan jadi 'THE Pierre Laurent?' Ramai peminat... Pandai... Handsome...Kaya...Maksud aku, everyone wants to be you. Apa rasanya?" Kata Arissa sambil mereka berpimpin tangan.

"Memenatkan."

"Kenapa?"

Mereka berhenti sebentar. Pierre membuang pandangannya ke lampu-lampu yang bercahaya.

"Semua orang ingatkan mesti seronok ada di tempat I but the fact is... I akan buat apa saja untuk keluar dari diri I. Semua orang ada expectations dari I. Oh, just because I'm Pierre Laurent, I mesti jadi top student. Just because I'm Pierre Laurent, I mesti impress. I can't afford mistakes. Waktu I kecik dulu, mistakes's a luxury.
Mama I selalu pastikan I tak buat silap. Papa I selalu pastikan I adalah yang terbaik di dalam apa sahaja yang I lakukan... Sukan, muzik, akedemik." Pierre menarik nafasnya dan meletakkan tangannya di dalam poketnya. Ada kesedihan di matanya.

"Kalau orang lain tumpahkan air kat majlis, for example, dia kata sorry, everything's forgiven, tapi kalau I, buat macam tu, orang mesti cakap, macam mana golden boy macam dia boleh buat kesilapan macam tu? Tu sebab I tertarik pada You. You are very free-spirited. You tak kisah apa orang akan cakap tentang you, sebab you selesa dalam kulit you sendiri. You adalah orang yang I yearned to be."

Pierre meletakkan tangannya di wajah Arissa seakan mengagumi setiap ciri gadis tersebut. Arissa hanya terdiam. Sesungguhnya dia begitu simpati dengan Pierre yang sering disalah erti. Satu nama timbul di kepalanya: Poor Little Rich Boy.

"Sorry, kalau I membosankan You dengan cerita I." kata Pierre sambil berdehem. Arissa hanya menggelengkan kepalanya.  Kemudian suara Pierre kembali ceria, dan menyambung, " Hey, kita belum habiskan the last game. Scissors-Paper-Stone. Ingat?"

Arissa tersenyum.

"Malaslah nak main, aku nak end it."

Wajah Pierre berkerut.

"Tapi..."

"You win. Aku tarik diri."

"Maknanya..."

"Kau tau apa maknanya..." Arissa memberi ciuman ke pipi Pierre. Kemudian dia tersenyum malu dan mendahului lelaki yang sedang tersenyum itu.

Akhirnya Pierre menghantar Arissa hingga ke flatnya. Arissa keluar dari kereta itu, dengan sejambak bunga di tangan diikuti oleh Pierre.

"Thanks, Pierre." kata Arissa.

"No, thank you. Thank you just because you existed. I takkan harapkan orang lain selain you yang sudi jadi kekasih I." Dengan itu, Pierre mendekati Arissa dan mencium dahinya. Arissa hanya menutup matanya melawan debarannya.

Dari atas, Farizal menyaksikan aksi-aksi tersebut diiringi dengan rasa kekecewaan. Malam ini, hancur sudah seluruh hatinya. Dia ingin menghirup udara malam di koridor rumahnya apabila dia menyaksikan sesuatu yang menyesakkan dada pula. Farizal masuk ke dalam biliknya dan tanpa sedar, air mata lelakinya yang paling mahal dijatuhkan, meragut semua asanya. Malam itu, jiwanya dibunuh oleh seorang gadis bernama Arissa.





2 comments:

  1. alah...
    romantiknye!
    tp ksian kt rizal!

    ReplyDelete
  2. OMG! kesian Rizal... Well. Neway, nice job! Bintang follow Zahara koz u are sooooo ohsem! Tak sabar nak tunggu sambungannya! =)

    ReplyDelete